Saturday, May 29, 2010

Suara wanita


SUARA WANITA

Pada asalnya suara wanita itu bukanlah aurat. Kalau suara wanita itu aurat di dalam semua keadaan maka sudah tentulah ia merupakan satu tanggungjawab agama yang amat sukar. Sedangkan agama Islam itu mudah. Wanita-wanita pula perlu bercakap dan berkira bicara dengan lelaki di dalam urusan yang berbagai-bagai. Suara wanita itu dikatakan aurat ialah ketika bercakap-cakap dengan gaya suara yang boleh menarik perhatian dan mempesonakan. Seperti firman Allah yang bermaksud: “Oleh itu janganlah berkata-kata dengan lembut dan manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hati. Dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik, sesuai dan sopan.” (Al-Ahzab: 32)

Difahamkan daripada ayat ini Allah tidaklah melarang perempuan-perempuan daripada bercakap dengan lelaki secara mutlak, mereka diharuskan bercakap dengan lelaki di dalam suasana yang sopan dan tidak berniat buruk. Apa yang dilarang ialah bercakap dengan gaya suara yang boleh mempesonakan dan membangkitkan keinginan tertentu bagi lelaki-lelaki yang berpenyakit hati dan lemah iman (manusia seperti ini wujud di mana-mana). Di dalam sejarah Islam ramai perempuan Sahabat bertanya Nabi s.a.w. mengenai hukum-hukum tertentu di majlis yang dihadiri oleh ramai lelaki ajnabi. Pernah perempuan Sahabat bercakap-cakap dengan lelaki Sahabat Rasulullah, demikian juga sebaliknya. Ada kisah seorang perempuan bangun bercakap-cakap membantah cadangan Sayidina Umar supaya merendahkan mas kahwin dan ia berlaku di dalam khalayak ramai lelaki dan perempuan. Sayidina Umar yang terkenal tegas itu tidak membantah perlakuan perempuan tersebut, sebaliknya mendengar dan akur di atas pandangannya.

Demikian juga peristiwa Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar pergi menziarahi Ummu Aiman selepas wafatnya Rasulullah s.a.w. Imam Nawawi mengatakan harus lelaki menziarahi perempuan dan bercakap-cakap dengannya. Sahih Muslim menyatakan terdapat ramai perempuan daripada golongan Sahabat dan tabiin meriwayatkan hadis, mengajarnya dan memberi fatwa di dalam hukum-hukum agama.

Ini menunjukkan bahawa semata-mata suara itu bukanlah aurat. Yang boleh membawa kepada aurat ialah suara perempuan yang lembut manja yang mempesonakan dan dibimbangi boleh membawa akibat yang tidak baik. Bila dikatakan suara wanita itu aurat janganlah kita terus fokus kepada percakapannya, tetapi yang dikatakan aurat itu ialah suara sengaja dilunakkan dan diungkapkan dengan lembut yang menarik perhatian dan perasaan orang lelaki. Sebab itulah sebahagian besar nyanyian sekarang termasuk di dalam bahagian itu, di mana selain daripada suaranya yang lunak, merdu dan menawan, senikata lagu-lagunya yang menarik ditambah pula dengan gaya penampilan yang bertujuan untuk memikat dengan bentuk pakaian yang mendedahkan atau fesyen-fesyen yang melamapaui batas-batas Islam yang bercanggah dengan hukum Allah.

No comments:

Post a Comment